PENGENALAN

Pelancongan mempunyai pelbagai maksud mengikut perspektif dan pandangan pihak-pihak yang terlibat, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri pelancongan. Ini termasuklah pelancong itu sendiri, organisasi penginapan dan pengangkutan, organisasi pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya.

Perkataan tourism datang daripada perkataan Latin iaitu 'tornare' dan juga Greek iaitu 'tornos' yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari (1977) mendefinisikan pelancongan sebagai, “Suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran.” Pengertian yang meluas ini sukar difahami kerana ia tidak menjelaskan secara mendalam apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan dan apakah faktor-faktor yang terlibat dalam membangunkan industri ini.

Oleh itu, wujud definisi lain yang cuba memberi penjelasan secara mendalam mengenai pelancongan. Sebagai contoh, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.” Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri pelancongan secara khususnya. Kelima-lima elemen itu adalah persekitaran, manusia, kawasan, ekonomi dan dinamik.

Memandangkan pelancongan itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza mengikut perspektif atau school of thought masing-masing, sehingga kini masih wujud pelbagai definisi pelancongan. Istilah pelancongan menurut WTO atau World Tourism Organization merujuk kepada, “Aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya”. Definisi WTO ini secara langsung membawa kepada pengertian apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan antarabangsa, pelancongan dalaman, pelancongan domestik dan pelancongan kebangsaan (lihat Rajah 1.1). Pelancongan antarabangsa melibatkan dua aspek pelancongan iaitu:

1.   Melancong dalam negara: Merujuk kepada lawatan atau pengembaraan ke destinasi tuan rumah yang dibuat oleh individu yang berasal dari destinasi lain. Sebagai contoh, Malaysia sebagai tuan rumah menerima kunjungan daripada pelancong Eropah. Pelancong Eropah yang datang ke Malaysia dikenali sebagai pelancong dalam negara.

2.   Melancong luar negara: Merujuk kepada lawatan atau pengembaraan seseorang individu ke destinasi selain dari tempat asal mereka. Contohnya, pelancong Malaysia yang melancong ke Australia dan New Zealand adalah pelancong luar negara.

3.   Pelancongan dalaman pula merujuk kepada lawatan atau pengembaraan seseorang individu ke destinasi yang sama dalam kawasan destinasi asal mereka. Contohnya, rakyat negeri Kedah yang berasal dari Alor Setar membuat lawatan ke Pulau Langkawi, juga terletak dalam negeri Kedah. Pelancongan domestik merujuk kepada pelancongan dalaman dan dalam negara. Contohnya, sebagai rakyat negeri Perak, kita menerima kunjungan dan lawatan rakyat negeri Melaka. Pelancong Melaka itu dikenali sebagai pelancong domestik.