SEJARAH PENUBUHAN
Hasrat untuk menubuhkan memorial khas untuk Pendeta Za'ba telah lama berada dalam pemikiran Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Dato' Seri Utama Tan Sri A. Samad Idris. Bagaimanapun dalam kesibukan waktu, idea itu tertinggal begitu sahaja tetapi dibangkitkan semula pada tahun 1995 sempena satu abad kelahiran Za'ba. Hasrat murni itu disampaikan kepada Y.A.B. Menteri Besar, Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd. Isa bin Dato' Haji Abdul Samad dan 'gayung dihulur' disambut baik oleh pucuk pimpinan negeri yang cukup dikenali kerana keprihatinannya terhadap sumbangan tokoh berjasa.
Selain penglibatan langsung Dato' Haji Lillah Haji Yassin (Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan), Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri; usaha ini turut mendapat sokongan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Maktab Melayu Kuala Kangsar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Arkib Negara Malaysia, Jabatan Muzium dan Antikuiti serta Jabatan Kerja Raya yang dipertanggungjawabkan mengurus pembinaan bangunan yang diberi nama Teratak Za'ba ini.
Akhirnya Teratak Za'ba telah berjaya disiapkan dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Tan Sri Hj. Mohd Isa bin Dato' Hj. Abdul Samad pada 5 Februari 2001. Bermula pada tarikh itu Teratak Za'ba telah dibuka kepada orang ramai sebagai salah satu produk dan kawasan pelancongan yang berunsurkan pendidikan di Negeri Sembilan. Bahan utama bangunan ini diperbuat daripada Kayu Cengkal (penak) dan reka bentuknya masih bercirikan Rumah Tradisional Negeri Sembilan. Antara ciri-ciri pertukangan melayu di bangunan ini ialah Tupai-tupai, Tabir Layar, Kisi-kisi, Anjung Serambi, pelantar dan penyambungannya menggunakan tanggam dan pasak.
Pameran Teratak Za'ba
BIBLIOGRAFI
Di ruangan ini pelawat boleh membaca sendiri perjalanan hidup Za'ba dengan lebih terperinci mengikut susunan tahun. Dari beliau baru dilahirkan, memasuki alam persekolahan, pekerjaan hinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.
Za'ba atau Zainal Abidin bin Ahmad bin Ibrahim bin Hj Ahmad bin Hj Amil telah dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan.
PERIBADI
Ruang ini memaparkan ruang peribadi dan minat Za'ba dalam bidang penulisan dan seni. Beliau banyak menghasilkan buku-buku bacaan ketika bertugas sebagai penterjemah di pejabat karang-mengarang MPSI, Tanjung Malim. Mesin taip yang ada adalah contoh mesin taip yang digunakan semasa bertugas di sana. Peti nyanyi yang ada menunjukkan bahawa Za'ba amat meminati seni.
Meja dan kerusi dari kayu asli adalah yang digunakan oleh Za'ba. Ruang ini cukup segar dan memang sesuai dengan identitinya sebagai ruang peribadi Za'ba.
PAKAIAN
Sudut ini memaparkan pakaian-pakaian pada zaman PendetaĆ Za'ba dahulu. Dari segi berpakaian, Za'ba merupakan seorang yang ringkas. Beliau lebih memandang kepada keselesaan, tetapi bagi beliau berpakaian mempunyai dua aspek penting. Yang pertama ialah pakaian di kepala dan kedua ialah pakaian di badan.
Yang dimaksudkan dengan pakaian di kepala ialah bagi seorang lelaki melayu ia haruslah memakai songkok apabila memakai baju melayu, apabila ia hendak sembahyang dan semasa makan. Bagi seorang wanita Islam pula, setiap helai rambut hendaklah ditutup dengan tudung sesuai dengan tuntutan agama. Pakaian pada badan pula ialah pakaian yang dianggap bersopan santun dan melambangkan adat orang timur. Pakaian tersebut pada dasarnya hendaklah menutup aurat sesuai dengan bentuk dan saiz badan.
Nyata Za'ba juga gemar mengenakan baju putih ala Inggeris terutamanya pakaian begini memang menjadi pakaian rasmi. Ini menunjukkan bahawa pengaruh Inggeris merupakan satu faktor utama dalam setiap aspek khasnya pakaian.
SUDUT UMUM
Ruangan ini mempamerkan barangan antik dan dijadikan contoh barangan yang digunakan oleh Pendeta Za'ba di mana barang-barang ini adalah barangan antik yang wujud sezaman dengan Za'ba. Antaranya adalah jam dinding, jam tangan berkunci, mesin taip, almari kayu, cermin mata dan tongkat. Semua barang-barang ini masih boleh digunakan sehingga ke hari ini.
Memang tidak dinafikan barang-barang yang dihasilkan pada masa dahulu mempunyai nilai ketahanan yang tinggi kerana bahan buatannya adalah asli dan tidak banyak bahan campuran. Almari kayu yang dipertontonkan adalah almari yang digunakan untuk menyimpan buku-buku oleh Za'ba suatu ketika dahulu. Ruangan ini agak terhad namun rekabentuk dalamannya cukup untuk menggambarkan suasana rumah Za'ba pada zaman dahulu.
MULTIMEDIA DAN PERPUSTAKAAN
Turut disediakan di ruangan ini adalah bahan-bahan multimedia seperti risalah dan cakera padat mengenai kehidupan, aktiviti penulisan Za'ba dan juga buku-buku mengenai Za'ba. Di sudut ini pengunjung boleh menggunakan kiosk untuk melihat maklumat-maklumat mengenai Za'ba dan melalui VCD yang dihasilkan. Selain dari itu, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat melalui pembacaan buku yang dipamerkan. Antara buku-buku yang boleh diperolehi adalah Gema Serunai Hati 6 dan Pengkisahan Sejarah Za'ba. Manakala VCD yang dihasilkan adalah Permata Di Bumi Perpatih dan Bahasa dan Sastera.
HUTAN LIPUR SERTING ULU
Hutan Lipur Serting Ulu adalah salah satu tempat menarik yang sering diperkatakan oleh penduduk tempatan Jempol. Ia terletak di bahagian utara kira-kira 20 km dari Bahau. Kawasan ini mula dimajukan pada tahun 1986, setelah ia ditemui sejak seratus tahun lalu. Jalan masuk ke Hutan Lipur ini agak sempit dan membenarkan hanya sebuah kereta untuk melaluinya sahaja.
Setelah menempuhi perjalanan lebih kurang dua kilometer, kawasan hutan yang dijaga dengan rapi akan dapat dilihat. Keriuhan suara kanak-kanak bermain dan bunyi aliran air sungai beriringan seperti menyambut kedatangan pengunjung, bagi menggantikan kebingitan dan kesibukan kota. Terdapat satu projek membina chalet yang sedang giat dijalankankan bagi memastikan dapat memenuhi kehendak pengunjung yang teringin bermalam di kawasan ini.
Kawasan hutan tersebut bersih, tiada sampah-sarap seperti di kebanyakan kawasan rekreasi lain. Satu lagi perkara menarik yang boleh dilihat ialah papan tanda yang melarang pengunjung membawa makanan yang tidak halal ke kawasan ini. Menurut penduduk kawasan ini, Hutan Lipur ini turut didiami oleh masyarakat 'orang bunian' yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Untuk menghormati kewujudan masyarakat ini, maka pihak perhutanan membina papan tanda melarang membawa makanan yang tidak halal.
Pada waktu ini anda akan dapat menghidu kesegaran udara bersih. Untuk memasuki kawasan ini, anda perlu mendaki sedikit bukit terlebih dahulu. Sudah tentu anda akan mengakui inilah tempat yang tepat untuk merehatkan diri dan fikiran anda. Perkara yang pertama yang anda ingin lakukan mungkin merendamkan kaki anda di dalam air sungai yang sedang mengalir. Urutan batu-batu kecil dan kesejukan air yang mengalir pastinya dapat menghilangkan kepenatan memandu ke tempat ini. Terdapat sebuah jambatan gantung yang dibina untuk menghubungkan dua buah bukit di sini.
Anda juga akan menemui pelbagai spesis pokok yang telahpun dilabelkan oleh pihak yang terlibat sebagai salah satu cara pembelajaran tidak formal. Tempat ini juga mempunyai nilai sejarah yang tidak boleh kita ketepikan. Kawasan ini pernah menjadi medan tempur antara pihak Komunis dan Jepun. Untuk pengetahuan anda, di belakang papan tanda Hutan Lipur Serting Ulu, masih terdapat satu lubang kesan dari pengeboman askar Jepun ke atas Komunis berpuluh tahun yang lalu. Selain itu, terdapat sebuah terowong yang merupakan laluan rahsia pihak Komunis untuk melarikan diri. Kajian pihak perhutanan mendapati terowong tersebut berakhir di Jeram Tengkek, Pasir Besar. Malah beberapa perkakasan memasak seperti periuk dan pinggan serta beberapa barang lain seperti lampu, meja, mesin jahit turut ditemui di sini. Namun begitu anda perlu mendaki beberapa buah bukit dan gunung untuk menemui terowong ini.
Bagi penggemar sukan lasak, Hutan Rekreasi Serting Ulu menawarkan tempat untuk berkhemah dan mendaki. Anda juga boleh meneroka terowong ini jika benar-benar inginkan cabaran. Keindahan tempat ini pastinya menjadi faktor utama untuk anda kembali lagi.
TAMAN REKREASI JERAM TENGKEK
Hutan lipur ini terletak di Hutan Simpan Serting iaitu kira-kira 30 minit dari pekan Batu Kikir. Hutan Dipterokarp Pamah ini kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan dan landskap batu-batan yang pelbagai bentuk. Sungai Jempol dan Sungai Tanun mengalir membentuk jeram semulajadi yang sesuai untuk aktiviti berkelah. Disamping itu, di sini juga terdapat perkampungan Orang Asli untuk dilawati.
TAMAN REAKREASI BAHAU
Taman rekreasi ini terletak ditengah-tengah Bahau. Ia merupakan kawasan yang menjadi tumpuan utama penduduk tempatan untuk menjalankan aktiviti riadah pada waktu pagi mahupun petang seperti tai chi, jogging dan bersiar-siar. Taman ini sesuai dijadikan tempat untuk beriadah bersama keluaga.